135 rekrut lelaki tamat latihan asas ketenteraan



Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Hernie Suliana Haji Othman






TUTONG, Jumaat, 26 April. - Seramai 135 anggota rekrut lelaki bagi Pengambilan Ke-173 telah berjaya menamatkan latihan asas ketenteraan yang mengambil tempat di Padang Kawad Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB), Penanjong Garison, pagi tadi.


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Brigedier Jeneral Haji Mohammad Shanonnizam bin Sulaiman.


Turut hadir ialah Timbalan-timbalan dan Pemangku Timbalan Pemerintah Angkatan Tentera dan Pemangku Timbalan Angkatan Bersama, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan anggota daripada Kementerian Pertahanan berserta  keluarga dan penjaga anggota-anggota rekrut.


Semasa upacara tersebut, tetamu kehormat telah dijemput untuk memeriksa perbarisan dan seterusnya menyampaikan ucapan. Dalam ucapan, beliau menekankan mengenai kepentingan kekuatan kerohanian, jasmani dan pengetahuan yang patut disemai dan dikembangkan di sepanjang perkhidmatan.


Ia adalah sebagai asas kepada kekuatan ABDB yang berperanan sebagai benteng barisan hadapan dalam mempertahankan kesucian agama dan kedaulatan negara dan raja.


Seterusnya, tetamu kehormat juga turut memberikan kata-kata nasihat agar semua yang menamatkan latihan sama-sama berusaha menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran serta turut mendoakan kejayaan mereka pada masa akan datang.


Seterusnya Pemerintah TDDB menyempurnakan penyampaian anugerah-anugerah kepada rekrut-rekrut dan jurulatih-jurulatih yang telah mempamerkan prestasi cemerlang dalam kategori-kategori masing-masing.


Penerima-penerima anugerah bagi Rekrut Lelaki Pengambilan Ke-173 ialah 55645 Rekrut Wafiq Amna bin Haji Hamdani bagi Anugerah Rekrut Terbaik Keseluruhan, 55594 Rekrut Mohammad Addy Zaky Billah bin Haji Awang Raimi bagi Anugerah Kemahiran Tentera Terbaik, 55558 Rekrut Mohammad Wafri Al Jeferiah bin Md. Sufri Al Jeferiah bagi Anugerah Senjata Ringan dan 55674 Rekrut (U) Muhammad Nur'faiq Izzuddin bin Kamarul Ariffin Anugerah Latihan Jasmani Terbaik.


Manakala 52432 Lans Koperal (U) Muhamad Rafiuddin Al-Islam bin Rosli telah menerima Anugerah Ketua Seksyen Terbaik dan 18616 Sarjan Muhamad Azmi bin Bujeh sebagai Platun Sarjan Terbaik.


Upacara diakhiri dengan bacaan doa oleh Pegawai dari Jabatanarah Agama ABDB, 1392 Leftenan Awangku Muhammad Nur Hafizan bin Pengiran Haji Hasan.


Close